Monday, June 24, 2013

HARUSKAH AKU MENERUSKAN??


Suatu petang, aku terjaga dari mimpi lena, membuatkan aku terfikir sejenak merenung masa hadapan yang kadang-kala pudar dari pandangan. Aku masih ragu-ragu dengan apa yang terjadi. Dalam mimpi itu, aku melihat diri ini seolah-olah tidak dipedulikan. Terdampar sepi di suatu sudut, sebatang kara. Hanya memerhati apa yang berlaku, tanpa mampu melakukan apa-apa. Sering kali aku bermimpi sedemikian. Adakah ini suatu petanda?. Aku hanya berdiam setiap kali ianya terjadi, tanpa bercerita dengan sesiapapun. Aku menjadi serba salah, kerana aku mengangap; jika aku bercerita pada rakan-rakan, pasti mereka akan menceritakan pada yang lain. Aku terlalu ‘paranoid’.
Teringat suatu masa dahulu, keluarga aku amat mengharap suatu perubahan berlaku dalam hidup ini. Mereka mengimpikan aku menjadi seseorang yang berjaya dalam keluarga. Kerana aku lah satu-satunya harapan mereka untuk mengubah nasib hidup. Hati ini terasa berat umpama batu ditenggelami air, setiap kali teringat harapan keluarga aku itu. Apa yang mampu ku lakukan ketika itu, hanya berdoa meminta pertolongan dari-NYA.
Aku kini merupakan pelajar tahun akhir yang menuntut di sebuah universiti tempatan. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Pelbagai dugaan, cubaan mahupun tomahan yang aku hadapi. Apatah lagi, menuntut ilmu diperantauan. Biarpun bukan di negara asing, aku tetap berasa berjauhan dari keluarga. Berlatarbelakangkan keluarga yang berstatus ‘sederhana’, aku lakukan apa yang terdaya. Sering kali aku mengeluh, apabila berada dalam kesusahan. Ibu bapa aku sering mengingatkan diri ini supaya lakukan apa yang terdaya, jangan sering memaksa diri. Aku sedar, jika bukan aku yang memulakan langkah untuk mengubah nasib hidup keluargaku, siapa lagi?. Jadi, aku teruskan juga biarpun hati ini berat. Bak pahitnya hempedu, tetapku telan jua.
Belajar di universiti bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi dengan memilih jurusan yang agak ‘sukar’. Menghadapi konflik dalam diri setiap hari, aku hampir rebah memikirkan apa yang bakal terjadi. Setiap langkah, keputusan yang diambil, aku sering memikirkannya berkali-kali. Adakah betul, adakah salah, jika aku tidak lakukan apa yang akan terjadi?. Semuanya menjadi isu dalam diri hampir setiap hari. Kadang kala, sehingga terbawa dalam lena tidurku. Berkali juga, aku mengalami ‘insomnia’ dengan memikirkan masalah yang berlaku. Biarpun aku cukup matang untuk memikir dan membuat suatu keputusan, namun aku masih lagi tidak mampu melakukannya. Terkadang, masalah yang kecil mampu menjadi besar pabila keputusan yang dibuat agak terburu-buru. Sering kali aku menyesal dengan apa yang terjadi.
Menceritakan kisah hidup di universiti ini, seperti rakan-rakan yang lain juga, ada manisnya, ada juga pahitnya. Ketika aku mula menjejakkan kaki ke sini, aku sedar tanggungjawab yang aku pikul cukup berat untuk digalas. Namun, demi menjaga hati keluarga, aku tetap teruskan jua. Hari silih berganti, kehidupan aku di sini berubah dan cukup berbeza dari sebelumnya. Setiap yang dilakukan, tidak ada yang menilainya. Cuma diri ini yang harus bijak memilih, mana yang baik, mana yang buruk.
Aku cukup pasti bagi setiap insan yang bergelar pelajar, peperiksaan merupakan sesuatu yang mampu mendatangkan tekanan kepada kita. Begitu juga aku, tidak terlepas dari normal kehidupan ini. Bukan sahaja tekanan ketika peperiksaan, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, ianya turut menjadi tekanan. Aku bukanlah seorang yang cemerlang dalam akademik seperti rakan-rakanku yang lain. Sering kali aku terpukul dengan memikirkan; jika tidak belajar bersungguh-sungguh, masakan mampu mendapat keputusan yang cemerlang. Aku sering lalai untuk mentelaah. Hanya leka bermain, membuang masa melepak.
Aku bernasib baik apabila aku ‘mampu’ menyambung pengajian ke tahun berikutnya. Namun, langit tidak selalu cerah, buat pertama kalinya aku gagal untuk menyambung pengajian ke tahun seterusnya. Apabila mengetahui perkara itu, aku bersedih ‘seketika’, memikirkan nasib yang bakal aku terima. Berita duka ini disampaikan kepada ibubapaku. Mereka tidak bersedih, tidak pula marah, malahan mereka memberikan kata-kata semangat untuk aku meneruskan, kerana mereka sedar kursus pengajian yang aku ambil ini bukanlah mudah. Mereka sangat memahami aku. Aku bersyukur mempunyai ibu bapa yang cukup memahami seperti mereka.
Aku diberi peluang untuk mengulangi pengajian untuk tahun tersebut. Pada mulanya, aku terasa asing. Maklum la, aku tidak lagi bersama-sama dengan rakan-rakan yang sudah bertahun bersama. Ketika itu, aku belajar bersama dengan rakan ‘baru’. Pada mulanya, agak kekok. Namun, disebabkan kemesraan mereka, aku tidak lagi terasa asing. Alhamdulillah, aku berjaya meneruskan pengajian sehingga kini.
Biarpun begitu, perasaan ‘adakah harus aku meneruskan pengajian ini’ masih lagi bermain di fikiran. Apabila kebahagian datang menjelma, aku mudah alpa. Namun begitu, rakan-rakan sering kali memberi kata-kata semangat untuk aku meneruskan. Setiap kali terkenangkan keluarga di kampung halaman, aku menjadi serba salah dengan setiap keputusan yang aku lakukan. Sehingga kini, aku masih lagi berfikir; adakah harus aku meneruskan?.





No comments:

Post a Comment