Saturday, February 8, 2014

Masih Tidak Jauh!!!!



Saat ini, aku tidak perlu gusar lagi..
Apa yang aku inginkan sejak menjejaki di bumi kenyalang ini hampir ku kecapi..
Biarpun pelbagai rintangan yang ku lalui, Allah sentiasa membantu aku..
Mungkin keinginan aku itu, bukanlah sesuatu yang menjadi impian..
Aku harap, aku diberi kekuatan untuk menempuh segalanya di masa hadapan..

Dulunya,
Tatkala niat melakukan kebaikan singgah, hati mula menjadi resah..
Pabila mentari menyapa senja, aku masih alpa..
Dibuai perasaan sedih, gundah; entah kenapa..
Menjadikan diri, insan yang leka..

Kini, segalanya mungkin berbeza..
Aku mampu mentelaah tatkala minda mula berfikir..
Mata ini mampu celik sebelum matahari memancar cahaya..
Tidak sering lagi dibuai perasaan duka..
Mampu jua aku melakukan sewajarnya..

Menjadi manusia yang berbeza, bukan niatku..
Aku hanya ingin menjadi yang terbaik..
Bukan untuk menunjuk-nunjuk,
Bukan untuk berlagak pandai,
Bukan jua untuk menjadi perhatian..
Aku hanyalah inginkan kehidupan yang sempurna bersama keluargaku..

Setelah sekian lama merantau, mungkin hampir 6 tahun aku di sini,
Aku ingin buktikan kepada semua, aku juga mampu melakukannya..
Mengharap pengorbanan; berjauhan dengan keluarga, bukanlah perkara yang sia-sia..
Aku tidak merasa penat, tidak pula merasa hampa..
Mungkin merasa bosan dengan apa yang sering bermain di fikiran ini..

Apa yang aku perlukan kini?
Aku perlu lebih fokus,
Abaikan kata-kata mereka yang sekadar menjadi dinding yang rapuh,
mampu tumbang pada bila-bila masa..
Jadikan diri lebih tabah, lebih kuat dan lebih teliti untuk menepis segala cabaran dan dugaan yang bakal singgah dalam perjalanan ini..

Fikirkan---> Masih Tidak Jauh, Aku Mampu Melakukannya..





Doakan Aku Wahai Kalian..


p/s: Selamat Maju Jaya kepada semua


Monday, June 24, 2013

HARUSKAH AKU MENERUSKAN??


Suatu petang, aku terjaga dari mimpi lena, membuatkan aku terfikir sejenak merenung masa hadapan yang kadang-kala pudar dari pandangan. Aku masih ragu-ragu dengan apa yang terjadi. Dalam mimpi itu, aku melihat diri ini seolah-olah tidak dipedulikan. Terdampar sepi di suatu sudut, sebatang kara. Hanya memerhati apa yang berlaku, tanpa mampu melakukan apa-apa. Sering kali aku bermimpi sedemikian. Adakah ini suatu petanda?. Aku hanya berdiam setiap kali ianya terjadi, tanpa bercerita dengan sesiapapun. Aku menjadi serba salah, kerana aku mengangap; jika aku bercerita pada rakan-rakan, pasti mereka akan menceritakan pada yang lain. Aku terlalu ‘paranoid’.
Teringat suatu masa dahulu, keluarga aku amat mengharap suatu perubahan berlaku dalam hidup ini. Mereka mengimpikan aku menjadi seseorang yang berjaya dalam keluarga. Kerana aku lah satu-satunya harapan mereka untuk mengubah nasib hidup. Hati ini terasa berat umpama batu ditenggelami air, setiap kali teringat harapan keluarga aku itu. Apa yang mampu ku lakukan ketika itu, hanya berdoa meminta pertolongan dari-NYA.
Aku kini merupakan pelajar tahun akhir yang menuntut di sebuah universiti tempatan. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Pelbagai dugaan, cubaan mahupun tomahan yang aku hadapi. Apatah lagi, menuntut ilmu diperantauan. Biarpun bukan di negara asing, aku tetap berasa berjauhan dari keluarga. Berlatarbelakangkan keluarga yang berstatus ‘sederhana’, aku lakukan apa yang terdaya. Sering kali aku mengeluh, apabila berada dalam kesusahan. Ibu bapa aku sering mengingatkan diri ini supaya lakukan apa yang terdaya, jangan sering memaksa diri. Aku sedar, jika bukan aku yang memulakan langkah untuk mengubah nasib hidup keluargaku, siapa lagi?. Jadi, aku teruskan juga biarpun hati ini berat. Bak pahitnya hempedu, tetapku telan jua.
Belajar di universiti bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi dengan memilih jurusan yang agak ‘sukar’. Menghadapi konflik dalam diri setiap hari, aku hampir rebah memikirkan apa yang bakal terjadi. Setiap langkah, keputusan yang diambil, aku sering memikirkannya berkali-kali. Adakah betul, adakah salah, jika aku tidak lakukan apa yang akan terjadi?. Semuanya menjadi isu dalam diri hampir setiap hari. Kadang kala, sehingga terbawa dalam lena tidurku. Berkali juga, aku mengalami ‘insomnia’ dengan memikirkan masalah yang berlaku. Biarpun aku cukup matang untuk memikir dan membuat suatu keputusan, namun aku masih lagi tidak mampu melakukannya. Terkadang, masalah yang kecil mampu menjadi besar pabila keputusan yang dibuat agak terburu-buru. Sering kali aku menyesal dengan apa yang terjadi.
Menceritakan kisah hidup di universiti ini, seperti rakan-rakan yang lain juga, ada manisnya, ada juga pahitnya. Ketika aku mula menjejakkan kaki ke sini, aku sedar tanggungjawab yang aku pikul cukup berat untuk digalas. Namun, demi menjaga hati keluarga, aku tetap teruskan jua. Hari silih berganti, kehidupan aku di sini berubah dan cukup berbeza dari sebelumnya. Setiap yang dilakukan, tidak ada yang menilainya. Cuma diri ini yang harus bijak memilih, mana yang baik, mana yang buruk.
Aku cukup pasti bagi setiap insan yang bergelar pelajar, peperiksaan merupakan sesuatu yang mampu mendatangkan tekanan kepada kita. Begitu juga aku, tidak terlepas dari normal kehidupan ini. Bukan sahaja tekanan ketika peperiksaan, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, ianya turut menjadi tekanan. Aku bukanlah seorang yang cemerlang dalam akademik seperti rakan-rakanku yang lain. Sering kali aku terpukul dengan memikirkan; jika tidak belajar bersungguh-sungguh, masakan mampu mendapat keputusan yang cemerlang. Aku sering lalai untuk mentelaah. Hanya leka bermain, membuang masa melepak.
Aku bernasib baik apabila aku ‘mampu’ menyambung pengajian ke tahun berikutnya. Namun, langit tidak selalu cerah, buat pertama kalinya aku gagal untuk menyambung pengajian ke tahun seterusnya. Apabila mengetahui perkara itu, aku bersedih ‘seketika’, memikirkan nasib yang bakal aku terima. Berita duka ini disampaikan kepada ibubapaku. Mereka tidak bersedih, tidak pula marah, malahan mereka memberikan kata-kata semangat untuk aku meneruskan, kerana mereka sedar kursus pengajian yang aku ambil ini bukanlah mudah. Mereka sangat memahami aku. Aku bersyukur mempunyai ibu bapa yang cukup memahami seperti mereka.
Aku diberi peluang untuk mengulangi pengajian untuk tahun tersebut. Pada mulanya, aku terasa asing. Maklum la, aku tidak lagi bersama-sama dengan rakan-rakan yang sudah bertahun bersama. Ketika itu, aku belajar bersama dengan rakan ‘baru’. Pada mulanya, agak kekok. Namun, disebabkan kemesraan mereka, aku tidak lagi terasa asing. Alhamdulillah, aku berjaya meneruskan pengajian sehingga kini.
Biarpun begitu, perasaan ‘adakah harus aku meneruskan pengajian ini’ masih lagi bermain di fikiran. Apabila kebahagian datang menjelma, aku mudah alpa. Namun begitu, rakan-rakan sering kali memberi kata-kata semangat untuk aku meneruskan. Setiap kali terkenangkan keluarga di kampung halaman, aku menjadi serba salah dengan setiap keputusan yang aku lakukan. Sehingga kini, aku masih lagi berfikir; adakah harus aku meneruskan?.





Thursday, November 8, 2012

Mengharap mimpi menjadi nyata!!!!!

tatkala sang mentari menyapa diri
hatiku masih di situ,
terbuai lena mainan tidur,
yang aku terkadang berasa hampa bercampur ketawa...

biarpun ianya sekadar mimpi,
diri ini sering mengharap keajaiban berlaku....

menjadi diri sendiri bukanlah semudah yang disangka,
pengorbanan harus dilakukan...
jika diri tidak sesempurna yang diharap,
bersyukur kerana kita masih diberi peluang
untuk menginsafi diri...

tatkala senja melambai pergi,
hatiku masih di'situ',
mengharap mimpi menjadi nyata,
yang terkadang aku hilang arah tuju...

biarpun sedar ia hanyalah mainan tidur,
aku masih membuta tuli,
menanti pasti,
akan sesuatu untuk hari mendatang...

biarpun lelah menanti,
aku berharap suatu hari,
biar mimpi sampai ke bintang...

Wednesday, September 5, 2012

Sampai Bila Ingin Berahsia??





Berulang kali ku terfikir, 
'adakah cara yg ku lakukan ini betul, tepat?' 
Setiap kali aku berfikir, 
keputusan yang sama aku ambil, dengan berdiam diri, tanpa meluahkan pada sesiapa... 


Memang berat untuk ku simpan, 
tapi apakan daya lebih berat lagi untuk aku bercerita. 
Biarpun bukan luahan hati, dari gerak geri tubuh ini, 
pasti mereka mengerti... 

Sesekali aku merenung jauh ke hadapan, 
kadang kala terdetik diri untuk berfikir, 
apakah yang akan terjadi jika suatu masa dahulu aku tidak memilih jalan itu?... 

Sampai bila aku ingin terus berahsia? 
Semakin hari, semakin berat untuk aku pikul.. 
Tiap kali kekecewaan terjadi, 
ada saja cara menyelesaikan perkara itu aku fikirkan, 
Seperti yang sering dilakukan, 
aku hanya berdiam diri tanpa bercerita kepada sesiapa... 
 Mungkin pada masa itu, 
aku fikir itu cara terbaik, dan selepas itu aku kembali 'normal'... 

Aku hampir terlupa, 
aku tidak berseorangan, 
Allah masih di sisi hamba-NYA yang memerlukan... 
Aku harus sedar, 
setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya... 
Usah berahsia lagi, jika tidak mahu bercerita pada sesiapa, 
berceritalah pada-NYA..
DIA sentiasa mendengar...



p/s: sekadar renungan bersama..berkongsi pengalaman..

Tuesday, February 7, 2012

Masih Jauh!!!!!!!!!!





Hari silih berganti, makin mencabar kehidupan masa kini...
Bukan senang untuk menjadi senang, bukan susah untuk menjadi susah...

Hari-hari yang ku lalui selama ini penuh berliku dan terus berliku..
Biarpun begitu, liku-liku kehidupan ini harus ditempuhi dengan penuh kesabaran & ketenangan..

Jangan mudah mengalah, teruskan menghadapinya...
Mengalah tidak mendatangkan apa-apa kebaikan..

Jika kita fikir, kita lah manusia yang paling malang,
ingatlah, lebih ramai lagi yang lebih 'malang' daripada kita..
Bersyukurlah dengan apa yang diberikan..

Allah menguji setiap hambanya dengan 'kesusahan' mahupun 'kesenangan'..
Allah lebih mengetahui tahap kemampuan setiap di antara kita...

Biarpun 'masih jauh' perjalanan menuju 'cita-cita',
Teruskan berusaha & sabar,
InsyaAllah, bila tiba masanya kita akan merasakan kebahagian yang tidak terhingga..

Allah bukanlah kejam, ingin menghukum umatnya sesuka hati..
Jika kita ditimpa kesusahan,
Ingatlah, Allah ingin mengingatkan kita suapaya lebih dekat dengan -NYA
dengan cara beramal ibadat..

Terkadang, diri ini seperti yang diperkatakan,
mudah 'lupa diri', pabila senang,
Pabila susah, pun masih lupa pada-NYA, malah menyalahkan-NYA atas apa yang terjadi..




YA ALLAH, sesungguhnya ENGKAU Maha Mengetahui segala yang berlaku terhadap Hamba-MU ini..
Berikanlah kekuatan & kesejahteraan terhadap hamba-MU yang lemah ini..

Masih Jauh berliku,
Namun tidak mustahil..

p/s: sekadar renungan bersama...

Tuesday, October 18, 2011

Teruskan!!!!!!!



Setiap insan di dunia ni, diberi 'dugaan' dan 'cabaran' yg berbeza,
segalanya di'uji' mengikut kemampuan diri..
Kadang kala kita merasa bebanan itu tak mampu dipikul,
tapi hakikatnya berbeza,
Yang penting kita harus 'sabar' dan terus berusaha mengharunginya..

Jika kita berjaya menanganinya, InsyaAllah kita akan menjadi lebih kuat,
Jika kita 'belum' berjaya, teruskan & tingkatkan usaha sehingga berjaya....

Kejayaan tidak akan datang tiba2x,
jika kita tidak berusaha mencarinya...

Mungkin, kita 'belum' berjaya sekarang,
ingat InsyaAllah, jika berusaha lebih lagi segalanya akan dipermudahkan...

Sentiasa positif ke arah kejayaan...
Setiap insan yang berjaya pada masa kini,
suatu masa dahulu mereka pernah mengalami kesusahan..
Jadi berusaha, berusaha, berusaha hingga berjaya::::

Jangan biarkan 'impian' tinggal kenangan...





Tuesday, August 2, 2011

Peluang Ke-2


Assalamualaikum....

Teman2x, rakan2x dan taulan sekalian...
Lama saya x meng'edit' blog saya....

Kali ini saya ingin berkongsi sesuatu
yg berkisar dengan apa yg sedang berlaku...

Biasanya setiap peluang yang datang,
perlulah dimanfaatkan sepenuhnya...
Mungkin peluang yg ke-2 ini
akan menjadikan kita lebih matang dalam membuat keputusan,
mungkin juga peluang ke-2 ini
akan membuatkan kita lebih tertekan...
Bak kata pepatah,
alang2x menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan...

Dalam menjadikan sesuatu itu realiti bukanlah mudah,
namun tidak mustahil..
Apa yg penting adalah usaha kita ke arah menggapai sesuatu itu..

Namun, jika kita inginkan itu 'suatu' yg di luar jangkauan,
memang agak sukar...
Biar apapun pilihan yg kita buat,
mesti lah berfikir secara waras terlebih dahulu..
Kerana, jika peluang pertama tidak diambil,
mungkin, tiada peluang ke-2 untuk kita...

Oleh itu, berfikirlah sebelum bertindak...
Bertindak ikut nafsu atau kehendak,
akan membawa padah di kemudian hari...

Jangan terlalu memikirkan peluang ke-2,
kerana:
mungkin peluang yg pertama itu akan menjadi peluang yg terakhir:::





Renung-renungkan....salam perkongsian...